,

Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Malam Muzikal Apresiasi Kemanusiaan Moscow 2010

Malam Muzikal Apresiasi Kemanusiaan Moscow 2010 anjuran Sechenov Malaysian Students Association (SMSA) dengan kerjasama Jabatan Filologi Negara-negara Asia Tenggara, Korea dan Mongolia, Institute of Asian and African Studies, Moscow State University (MSU) akan diadakan pada hari Ahad, 12hb Disember 2010 di Hotel Universitetskaya, Moscow, Russia.

Pengenalan

Seringkali bahasa dan kebudayaan ditafsirkan sebagai komponen-komponen yang amat penting dalam diri seseorang individu dan negaranya. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana memiliki pelbagai etnik dan sudah pasti kebudayaan yang berwarna-warni ini amatlah indah untuk dihayati oleh semua lapisan masyarakat. Malahan, masyarakat luar terutamanya di Moscow melihat kesusasteraan dan kebudayaan Malaysia ini begitu menarik sekali untuk dipelajari sehinggakan tertubuh dengan rasminya sebuah Jabatan Pengajian Malaysia di Fakulti Negara-negara Asia Tenggara, Korea dan Mongolia di Moscow State University (MSU) yang merupakan salah satu university tertua di Russia.
Setiap tahun bilangan pelajar-pelajar  dari Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Moscow pula semakin bertambah sehinggakan sudah melebihi 1500 orang. Dalam kesungguhan menuntut ilmu di kuliah-kuliah, segelintir antara mereka lupa bahawa mereka juga menggalas tanggungjawab sebagai duta-duta kecil Malaysia di Moscow. Pemilikan kebudayaan yang mendalam pada diri pelajar-pelajar memberikan impak positif kepada tahap nasionalisme dalam diri mereka. Orang luar turut dapat melihat betapa kebudayaan dan kesusasteraan negara ini diutamakan oleh ahli masyarakatnya menerusi amalan seharian. Jelaslah, kebudayaan mampu memberikan imej positif kepada masyarakat daripada kaca mata orang luar.
Kebudayaan dan kesusasteraan juga boleh menjadi  alat perpaduan yang mampu merapatkan hubungan antara kaum. Pengamalan sesuatu amalan budaya itu sudah pasti akan menimbulkan rasa akrab dan kesatuan yang mendalam dalam setiap jiwa manusia. Makanan tradisi, pakaian tradisi, budaya lama dan perayaan tradisi semuanya memberikan satu perasaan kekitaan yang mendalam dalam jiwa individu tertentu. 
Justeru, dengan kerjasama dan sokongan dari Moscow State University (MSU) dan Persatuan Nusantara Moscow. Persatuan Pelajar Malaysia Sechenov (SMSA) dengan berbesar hati dan julung kalinya ingin menganjurkan sebuah program berbentuk kebudayaan dan kesusasteraan Malaysia yang dinamakan “Malam Apresiasi Kemanusiaan” bersempena temanya iaitu “Nilai-nilai Kemanusiaan”. Tema ini merangkumi aspek-aspek penting dalam kehidupan manusia. Terdapat juga beberapa isu nilai kemanusiaan yang akan dibentangkan seperti isu jenayah peperangan, isu kerosakan alam sekitar, isu keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja dan lain-lain lagi. Sesungguhnya, program ini bukanlah suatu program yang berbentuk hiburan semata-mata malah memperkenalkan budaya dan bahasa Malaysia di peringkat global di samping memberi kesedaran tentang sudah terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan pada zaman ini. Diharap agar program ini yang bertemakan “Nilai-nilai Kemanusiaan” ini  akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.